Seorang gadis datang menemui Rasulullah dengan tangan
kanannya disorokkan ke dalam poket bajunya. Dari raut wajahnya, anak gadis ini
sedang menanggung kesakitan yang amat sangat.
Lalu Rasulullah menegurnya, “Wahai anakku, kenapa wajahmu
menampakkan kamu sedang kesakitan dan apa yang kamu sorokkan di tanganmu?”
Lalu gadis malang ini pun menceritakan hal yang berlaku
padanya:
“Ya,Rasulullah, sesungguhnya aku adalah anak yatim piatu.
Malam tadi aku telah bermimpi dan mimpiku itu telah membuatkan aku menanggung
kesakitan ini,” balas gadis tadi.
“Jika tidak jadi keberatan, ceritakanlah mimpimu itu wahai
anakku,” Rasulullah mula tertarik dengan penjelasan gadis tersebut.
“Aku bermimpi berjumpa ibuku di dalam neraka. Keadaannya
amat menyedihkan. Ibuku meminta diberikan air kerana dia amat dahaga kerana
kepanasan api neraka itu hingga peluh tidak sempat keluar kerana kekeringan
sekelip mata.” Gadis itu berhenti seketika menahan sebak. “Kemudian kulihat
ditangan kirinya ada seketul keju dan ditangan kanannya ada sehelai tuala
kecil.
Beliau mengibas-ngibaskan kedua-dua benda tersebut untuk
menghalang api dari membakar tubuhnya. Lantas aku bertanya ibuku, kenapa dia
menerima balasan sebegitu rupa sedangkan ketika hidupnya ibuku adalah seorang
hamba yang patuh dengan ajaran islam dan isteri yang taat kepada suaminya?
Lalu ibuku memberitahu bahawa ketika hidupnya dia amat
bakhil. Hanya dua benda itu sahaja iaitu seketul keju dan sehelai tuala kecil
pernah disedekahkan kepada fakir. Yang lainnya hanya untuk bermuka-muka dan
menunjukkan kelebihan hartanya sahaja.
Lalu aku terus mencari ayahku. Rupanya beliau berada di
syurga dan sedang menjamu penghuni syurga dengan makanan yang lazat dan minuman
dari telaga nabi. Ayahku memang amat terkenal kerana sikapnya yang dermawan dan
kuat beramal.
Lalu aku bertanya kepada ayahku. “Wahai ayah, ibu sedang
kehausan dan menangung azab di neraka.Tidakkah ayah ingin membantu ibu
sedangkan di dunia kulihat ibu amat mentaatimu dan menurut perintah agama.
Lalu dijawab oleh ayahnya. Sesungguhnya beliau dan semua
penghuni syurga telah dilarang oleh Allah dari memberi walau setitik air kepada
isterinya kerana itu adalah pembalasan untuk kebakhilan yang dilakukan ketika
didunia.
Oleh kerana kasihan melihat azab yang diterima oleh ibuku,
aku lantas menceduk sedikit air mengguna tapak tangan kananku lalu dibawa ke
neraka. Belum sempat air tersebut mencecah bibir ibuku, api neraka telah
menyambar tanganku sehingga melecur. Seketika itu juga aku tersedar dan
mendapati tapak tanganku melecur teruk. Itulah sebabnya aku datang berjumpa
engkau ya Rasulullah.”
Panjang lebar gadis itu bercerita sambil air matanya tidak
henti-henti mengalir dipipi. Rasulullah kemudian meletakkan tongkatnya ke tapak
tangan gadis tersebut lalu menadah tangan, berdoa memohon petunjuk dari Allah.
Jika sekiranya mimpi gadis tersebut adalah benar maka
disembuhkanlah agar menjadi iktibar kepada beliau dan semua umat islam. Lalu
berkat kebesaranNya tangan gadis tersebut sembuh. Rasulullah lantas berkata,
“Wahai anakku, pulanglah. Banyakkan bersedekah dan berzikir dan pahalanya kau
berikan kepada ibumu. Mudah-mudahan segala dosanya terampun.”
Sumber: Islamitusuci.com
No comments:
Post a Comment